Selamat Datang : Blog Pendidikan Global ooooo saya baru belajar, banyak yang tak tahu ... minta tunjuk ajarrrr

Saturday, May 2, 2009

Pendidikan Global: Pembestarian sekolah

MDeC laksana modul pembelajaran Sekolah Bestari berasaskan ICT di beberapa negara Asean

DUNIA tanpa sempadan sering dikaitkan dengan pelbagai aktiviti berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan ia kini menjadi sesuatu yang mesti ada dan diterapkan dalam kehidupan seharian terutama menerusi sistem pendidikan.

Penggunaan ICT secara meluas sejak awal pendidikan pastinya dapat memperkasakan sektor berkenaan sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.



Program pembestarian sekolah yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi bersama Multimedia Development Corporation (MDeC) adalah antara usaha proaktif kerajaan dalam meningkatkan kesedaran pentingnya penggunaan ICT di sekolah.

Pengurus Kanan Sekolah Bestari MDeC, Dr Norrizan Razali, berkata pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berlangsung di New York Oktober tahun lalu, mencerminkan kesungguhan kerajaan memajukan sektor pendidikan menerusi penggunaan ICT.

Modul yang diperkenalkan di 88 Sekolah Bestari dan 2,000 sekolah seluruh negara itu, katanya, turut diguna pakai di beberapa sekolah sekitar Asean, antaranya Kemboja, Vietnam , Myanmar dan Laos. Pelaksanaan itu sebagai inisiatif kerajaan dalam membantu rakan serantau.

Beliau berkata, inisiatif kerajaan mengembangkan pengetahuan itu bagi membantu negara yang memerlukan menerusi konsep rakan Asean.

“Kerjasama itu diterjemahkan dengan menghantar pakar ke negara berkenaan dan meninjau penggunaan ICT di sana. MDeC diberi mandat melaksanakannya termasuk menyediakan kursus kepada guru negara terbabit di negara ini dengan kos ditanggung kerajaan.

“Keberkesanan pendidikan ICT di sekolah di negara berkenaan terbukti dan modul yang dilaksanakan kini turut mendapat permintaan beberapa negara lain, antaranya Amerika Selatan, Afrika Selatan dan Asia Barat.

“Kami di MDeC bangga dengan permintaan sedemikian kerana produk berkenaan berjaya merealisasikan objektif kerajaan meningkatkan budaya celik ICT di kalangan pelajar serta dikongsi rakan mereka di peringkat global.” katanya ketika ditemui di Cyberjaya, baru-baru ini.

Kepercayaan itu, kata Norrizan, memberi peluang negara pergi lebih jauh dalam memperkasakan teknologi berasaskan ICT untuk dinikmati masyarakat sejagat khususnya menerusi pendidikan .

Beliau berkata, sekolah adalah institusi penting dalam menerapkan kemahiran ICT terutama di kalangan pelajar, malah dengan bantuan ICT mereka yang mempunyai masalah tumpuan dalam pelajaran dapat meningkatkan perhatian.

Menerusi ICT juga, katanya, MDeC dapat mengenal pasti pelajar pelbagai kategori yang memerlukan perhatian khusus dalam proses pembelajaran berkesan.

“Penggunaan ICT di sekolah membolehkan pelajar berfikir secara kreatif dan mempunyai daya inovatif tinggi dan tidak hanya tertumpu kepada proses pendidikan secara konvensional.

“Berdasarkan ranking penggunaan ICT di sekolah peringkat serantau, Malaysia berada pada kedudukan paling stabil selepas Korea Selatan dan Singapura,” katanya.

Bagaimanapun, Norrizan berkata, pihaknya perlu bekerja lebih gigih untuk terus berdaya saing bagi memastikan Malaysia terus berada pada kedudukan kukuh, selain dikhuatiri ia diambil alih pihak lain sekali gus menjadikan negara terkebelakang.

Kini negara berdepan pesaing terdekat iaitu Thailand yang begitu agresif mempromosikan penggunaan ICT dalam pendidikan.

Pelaksanaan Program Sekolah Bestari dalam pendidikan sedia ada, beliau berkata, pihaknya menggunakan penanda aras dalam proses pengiktirafan menerusi The Smart School Qualification Standards (SSQS).

“SSQS ini juga digunakan pakai dalam menilai semua sekolah seluruh negara yang akan dikategorikan dengan pemberian bintang iaitu antara satu hingga lima,” katanya.